Tuesday, 11 October 2016

AMALI HAFAZAN SUBJEK PENDIDIKAN ISLAM : PEMBENTUKAN TINGKAHLAKU PELAJAR KOLEJ MATRIKULASI



AMALI HAFAZAN SUBJEK PENDIDIKAN ISLAM : PEMBENTUKAN TINGKAHLAKU PELAJAR KOLEJ MATRIKULASI KEDAH

Nor Asiah bt. Ibrahim Shah
Mohd Othman bin Yussoff

ABSTRAK

Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti hubungan dan perbezaan amali hafazan bagi subjek Pendidikan Islam dan kesannya ke atas pembentukan tingkahlaku para pelajar (program Matrikulasi KPM) khususnya di Kolej Matrikulasi Kedah. Seramai 50 responden pelajar menjadi subjek kajian.  Kebanyakannya atau 64.0 % merupakan pelajar Program Satu Tahun (PST) Modul 1, selebihnya merupakan pelajar PST Modul 2 dan Program Dua Tahun (PDT). Set soal selidik mengandungi 23 item berskala lima Likert telah digunakan untuk mengukur maklumbalas responden. Sebanyak tiga hipotesis utama telah dibentuk bagi kajian ini. Kaedah-kaedah statistik secara deskriptif dan inferensi seperti analisis Korelasi Pearson, Ujian-t dan Analisis Varian Sehala (ANOVA)  telah digunakan  bagi mengkaji hipotesis-hipotesis ini melalui  perisian Statistical Package for Social Sciences for Windows Version 20 (SPSS V20). Hasil kajian  ini mendapati pengajaran dan pembelajaran (PdP) hafazan iaitu bacaan dalam solat, doa-doa pilihan dan surah-surah lazim mempengaruhi perubahan tingkahlaku para pelajar dengan pengaruh yang  dominan dan positif (p < 0.05, nilai “r” melebihi 0.6) sama ada dari segi mereka semakin memahami kalimah, surah dan doa, tenang dan khusyuk, bermotivasi serta mempunyai tingkahlaku yang semakin baik. Sebaliknya kajian ini juga menunjukkan faktor demografi (jantina dan modul pengajian), tidak mempunyai  perbezaan yang signifikan (p > 0.05)  dengan tingkahlaku  pelajar yang merupakan suatu dapatan yang sudah dijangkakan sepertimana yang dilakukan oleh para penyelidikan terdahulu. Berdasarkan dapatan ini, cadangan-cadangan  telah dikemukakan bagi meningkatkan lagi mutu mata pelajaran Pendidikan Islam sebagai subjek wajib di kolej matrikulasi  BMKPM.
        
                                        
1.0     PENDAHULUAN

Subjek Pendidikan Islam merupakan satu daripada subjek wajib yang terdapat dalam struktur akademik Program Matrikulasi, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Subjek ini  diwujudkan dengan tujuan untuk memberi kefahaman yang jelas kepada pelajar mengenai Islam sebagai agama yang benar dan diredhai Allah SWT serta agama yang seimbang dari segi keperluan dunia dan akhirat.
Matlamat Subjek Pendidikan Islam adalah untuk melahirkan pelajar yang berilmu, beriman, beramal serta menghayati prinsip-pinsip ajaran Islam pada setiap masa dan memiliki peribadi mulia bersesuaian dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan disamping mempunyai persediaan untuk menyelesaikan masalah semasa.
Objektif Pelajaran Pendidikan Islam ini adalah untuk membolehkan pelajar :
1.
Meningkatkan pengetahuan dan kefahaman yang merangkumi kefahaman mengenai Iman, Islam dan Ihsan, Pengukuhan Ibadah Solat, Etika Islam dan Pengukuhan Penguasaan Al Quran.
2.
Menghayati prinsip-prinsip ajaran Islam pada setiap masa serta mempunyai pandangan yang jelas mengenai kehidupan dunia dan akhirat.
3.
Menampilkan imej pelajar Islam yang bersifat dinamik, berfikiran luas, kritis dan kreatif, bersifat sederhana serta bersemangat untuk mencapai kecemerlangan dalam hidup di dunia dan akhirat.
(Bahagian Matrikulasi KPM, 2013.Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Islam, Program Matrikulasi 2012/2013).
Amali Hafazan merupakan satu daripada komponen Penilaian Berterusan Subjek Pendidikan Islam yang menyumbang 20 peratus daripada keseluruhan markah. Ianya terdiri daripada :

(i)                 ayat hafazan ( surah-surah lazim),
(ii)               wirid selepas solat ( doa-doa pilihan) dan
(iii)             bacaaan dalam solat berserta terjemahannya ( Doa Iftitah, Al Fatihah, doa duduk anatara dua sujud, bacaan tahiyat akhir dan doa iftitah )

Pelajar dikehendaki menghafaz elemen-elemen tersebut dan mereka akan dinilai dari aspek kelancaran hafazan, fasohah dan tajwid

Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti hubungan dan perbezaan amali hafazan bagi subjek Pendidikan Islam dan kesannya ke atas pembentukan tingkahlaku para pelajar (program Matrikulasi KPM) khususnya di Kolej Matrikulasi Kedah. Hasil  analisis amali hafazan ini, pengkaji akan membuat ukuran sejauhmana pembacaan dalam solat, menghafal doa dan menghafal surah-surah tertentu dapat memberi kesan yang positif ke atas pembentukan tingkahlaku para pelajar, yang mana laporan ini boleh dibentangkan sebagai penambahbaikan pengajaran dan pembelajaran (PdP) Pendidikan Islam dalam program Matrikulasi pada masa hadapan.  


1.1 Penyataan Masalah

Dewasa ini, sistem pendidikan di Malaysia sedang mengalami proses  perubahan yang besar, iaitu perubahan dalam struktur organisasi pengurusan pendidikan, peranan dan fungsinya di setiap bahagian dan  peringkat, baik di Kementerian Pendidikan Malaysia, universiti-universiti awam dan Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (BMKPM). Perubahan-perubahan ini merupakan salah satu strategi menghadapi masa depan yang semakin rumit dan rencam.

Implikasinya, perubahan dasar Kementerian Pendidikan Malaysia yang meletakkan pengajian Matrikulasi di bawah kelolaan Bahagian Matrikulasi, KPM mulai tahun 1999/2000 (yang sebelum ini di bawah kelolaaan universiti-universiti awam (UA/IPTA)) telah membuka sejarah baru melalui penubuhan kolej-kolej matrikulasi di seluruh Malaysia dengan penawaran Program Sains Hayat, Program Sains Fizikal dan Program Perakaunan selama 1 1/2 tahun (3 Semester).  Sebagai institusi yang menjana pendidikan kaum Bumiputera, Program Matrikulasi BMKPM terus mengalami lonjakan perubahan yang drastik dengan perubahan tempoh pengajian kepada 1 tahun (2 Semester) di samping melaksanakan Program Dua Tahun (PDT) mulai tahun 2003 serta penyertaan kaum bukan  bumiputera sebanyak 10 peratus melalui dasar meritokrasi.  Pelancaran Program Maktrikulasi Teknikal pada tahun 2008 iaitu melalui pengambilalihan beberapa buah sekolah vokasional/teknik serta terlaksananya penggubalan kurikulum dan sukatan baru  melalui perubahan subjek teras, subjek wajib, perubahan modul Program Satu Tahun (PST) dan Program Dua Tahun (PDT) mulai Sesi 2011/2012  memberikan implikasi yang hebat ke atas pelaksanaan subjek Pendidikan Islam  di kolej matrikulasi, Kementerian Pendidikan Malaysia.





Antara perubahan-perubahan ini telah menimbulkan beberapa permasalahan yang ketara:

(i)                 Perubahan masa subjek Pendidikan Islam dari dua jam ke satu jam pertembungan seminggu dalam satu  semester sahaja daripada dua semester yang ditempuhi  oleh pelajar Program Satu Tahun (PST).
(ii)               Manakala pelajar Program Dua Tahun (PDT) hanya mempelajari subjek Pendidikan Islam satu jam pertembungan seminggu  satu semester daripada empat semester pembelajaran, berbanding sebelumnya dua jam seminggu untuk tiga semester.
(iii)             Di samping itu terdapat pandangan di kalangan pihak pengurusan atasan dan waris yang cuba menafikan kepentingan subjek Pendidikan Islam yang perlu dikaji semula di peringkat matrikulasi.

Selain itu, pengkaji juga mendapati pengetahuan dan kefahaman  pelajar terhadap bacaan solat, bacaan Al Quran dan amalan berdoa berada pada tahap yang  rendah. Walaupun  pelajar telah didedahkan dengan pendidikan Islam sejak kecil lagi namun kesedaran dan penguasaan terhadap amalan Islam seperti solat, membaca quran dan berdoa adalah amat menyedihkan dan membimbangkan.

Lanjutan itu, melalui kajian ini, pengkaji cuba mengetengahkan kepentingan kewujudan Pendidikan Islam sebagai pendidikan sepanjang hayat yang perlu dipertahankan dalam program pendidikan matrikulasi dan bukannya sebagai polemik murahan atau tempelan.


1.2    Persoalan Kajian
Persoalan kajian ini akan dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu:

1.2.1        Adakah terdapat hubungan yang signifikan antara amali hafazan dengan perubahan tingkahlaku pelajar Kolej Matrikulasi Kedah?
1.2.2        Adakah terdapat perbezaan yang signifikan antara perubahan  tingkahlaku dengan  modul pengajian?
1.2.3        Adakah terdapat perbezaan yang  signifikan antara perubahan tingkahlaku dengan jantina pelajar?


1.3     Objektif Kajian
Objektif am kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti sama ada budaya hafazan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dilaksanakan oleh para pensyarah Pendidikan Islam telah memberi impak yang signifikan ke atas pembentukan tingkahlaku para pelajar (Program Matrikulasi BMKPM) khususnya di Kolej Matrikulasi Kedah. Hasil  analisis PdP hafazan ini penyelidik akan membuat ukuran sejauhmana hafazan pembacaan dalam solat, menghafaz doa dan menghafaz surah-surah tertentu dapat memberi kesan yang positif ke atas pembentukan tingkahlaku para pelajar, yang mana laporan ini boleh dibentangkan sebagai penambahbaikan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam dalam program Matrikulasi pada masa hadapan.  

 
Objektif khusus kajian ini ialah:

1.3.1        Mengenalpasti sama ada terdapat hubungan yang signifikan antara amali hafazan dengan perubahan tingkahlaku pelajar Kolej Matrikulasi Kedah.
1.3.2        Mengenalpasti sama ada terdapat perbezaan yang signifikan antara perubahan tingkahlaku  dengan modul pengajian.
1.3.3        Mengenalpasti sama ada terdapat perbezaan yang  signifikan antara perubahan tingkahlaku dengan jantina pelajar .


1.4     Hipotesis Kajian

Terdapat tiga hipotesis utama telah dibentuk berdasarkan ulasan karya dan kerangka konseptual kajian. Pengujian hipotesis-hipotesis ini akan menjawab persoalan kajian yang yang dinyatakan. Hipotesis-hipotesis inii dinyatakan seperti berikut :

Ho 1    Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara amali hafazan dengan perubahan tingkahlaku pelajar Kolej Matrikulasi Kedah.
Ho 2    Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara perubahan  tingkahlaku dengan    modul pengajian.
Ho 3    Tidak terdapat perbezaan yang  signifikan antara perubahan tingkahlaku dengan jantina pelajar.


1.5  Kepentingan Kajian

1.      Hasil kajian ini diharap dapat membantu memahami sebahagian dari persoalan pengajaran dan pembelajaran (PdP) subjek Pendidikan Islam di kolej-kolej  matrikulasi khususnya dalam aspek hafazan, seterusnya memberi pandangan untuk meningkatkan profesionalisme para pensyarah terhadap organisasi dan kerjaya mereka.

2.      Hasil kajian ini diharap dapat dijadikan maklumbalas terutamanya pengurusan atasan Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pendidikan Malaysia dalam perkara-perkara yang boleh meningkat dan menambahbaik martabat subjek Pendidikan Islam yang dirasakan semakin terpinggir dan dipinggirkan.

3.      Diharap hasil kajian ini dapat dijadikan sebagai garis panduan bagi pentadbir kolej dan Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pendidikan Malaysia dalam menyemak, melaksana dan mengelola serta menjalankan penilaian untuk mencapai matlamat, objektif dan harapan pendidikan negara,

4.      Diharap data-data dan keputusan daripada kajian ini dapat digunakan sebagai panduan untuk mengambil tindakan susulan yang sewajarnya ke arah mengangkat kembali imej dan profesion pensyarah Pendidikan Islam di kolej-kolej matrikulasi di tempat yang sepatutnya.


 
1.6    Skop Dan Batasan Kajian

Pada asasnya, skop dan batasan kajian ini adalah seperti yang dihuraikan di bawah iaitu:

1.      Kajian ini merupakan kajian yang melibatkan 50 orang responden sahaja, iaitu para pelajar yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) pengkaji semasa tutoran dilaksanakan. Ini bermakna pelajar-pelajar yang tidak terlibat dengan tutoran kami tidak termasuk dalam kajian ini.  Dapatan ini selaras dengan peruntukan dan kekangan masa yang amat singkat. Dengan itu, dapatan dari kajian ini hanyalah terpakai kepada tempat dan kumpulan yang dikaji sahaja.

2.      Kajian ini hanya memberi tumpuan mengenai amali hafazan subjek Pendidikan Islam dan hubungan serta perbezaannya dengan empat pembolehubah iaitu amalan solat, surah hafazan, bacaan doa dan faktor demografi (jantina dan modul pengajian).  Ini bermakna terdapat banyak lagi pembolehubah-pembolehubah lain yang tidak termasuk dalam kajian seperti peribadi pensyarah, emosi, ganjaran, motivasi, komitmen, dan sebagainya yang besar kemungkinan mempunyai kaitan yang kuat dengan tajuk yang dikaji.


2.0     TINJAUAN LITERATUR

Proses penghafazan merupakan suatu usaha untuk menyimpan maklumat dan pengetahuan yang dipelajari (Abd Fatah, 1994). Maka itu kerja-kerja ini tidak sekadar bergantung kepada kesihatan tubuh badan yang baik sahaja bahkan memerlukan kekuatan minda dan kesungguhan yang tinggi. Proses menghafaz ini dapat membantu mengekalkan ingatan dan kecerdasan minda selain dapat membantu mengingatkan pelajaran yang lain.

Menurut Abd Fatah (1994),  hafazan boleh dibahagi kepada tiga peringkat iaitu menghafaz secara cepat, hafazan jangka waktu singkat dan hafazan jangka waktu panjang. Hafazan secara cepat tidak kekal lama ia boleh jadi tidak lancar dan mudah lupa, sekadar bertahan beberapa saat sahaja. Hafazan jangka waktu pendek boleh kekal dalam beberapa minit atau jam. Sementara hafazan jangka waktu panjang mampu menyimpan maklumat yang diperolehi di masa lampau.

Fauzi Sulehan (2010),  mendapati terdapat 3 kaedah hafazan utama yang paling berkesan dalam menghafaz iaitu menperdengarkan hafazan baru (tasmi’), menghafaz seperti biasa dan kaedah tulisan ayat. Menurut Farhanah Rapihi (2012), beliau mendapati tahap pengguasaan hafazan bacaan Al Quran di sekolah agak kurang memuaskan bagi surah-surah lazim, begitu juga hafazan ayat-ayat surah hafazan yang ditetapkan..

Menurut Muhammad Fathi (2013), pengajaran Al Quran kepada generasi pertama menekankan aspek hafazan. Dengan itu hafazan merupakan asas untuk mempelajari Al Quran. Apabila dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) hafazan  ditekankan, maka pelajar perlu dilatih untuk mengulangi bacaan dan cuba melekatkannya dalam ingatan sehingga mereka dapat  membaca Al Quran tanpa melihat teks.

Wan Bakar Wan Dagang (1990), dalam pengajaran dan pendidikan Al Quran KBSR menyatakan antara pendekatan pengajaran di sekolah rendah adalah pendekatan menghafaz. Ini termasuklah menghafaz kalimah-kalimah, ayat-ayat atau surah-surah yang merupakan salah satu pendekatan mengenal dan melancarkan pembacaan  murid-murid. Pendekatan menghafaz boleh diperkenalkan sebelum murid-murid dapat membaca. Walaupun begitu pendekatan ini sesuai diperkenalkan setelah murid-murid boleh membaca kalimah dan ayat-ayat dari surah-surah tertentu.

Dalam konteks Islam masalah kelemahan membaca Al Quran, amalan berdoa dan menghafaz surah-surah berkaitan adalah merupakan sikap individu itu sendiri yang malas dan kesannya akan membawa ketidakmampuan membaca, tidak lancar dan buta huruf (Mohd Faisal et. Al., 2008).  Kajian ini juga berkaitan dengan pandangan Zaharah (2007) yang mendapati terdapat hubungan yang signifikan antara pengetahuan membaca Al Quran dengan kekerapan membacanya. Justeru  sikap tidak mengendahkan Al Quran dalam konteks belia (pelajar) akan mengugat tingkahlaku iaitu kepercayaan dan keimanan kepada Allah. Malah menurut Dzuhaimi Dahalan dan rakan-rakan (2014).  tindakan atau keputusan tersebut boleh mengakibatkan para belia (termasuk pelajar) terjerumus dalam tingkahlaku yang tidak sihat di dalam kehidupan mereka.  Pendedahan kes-kes jenayah dan gejala tingkahlaku yang kurang sihat seperti dilaporkan oleh media-media tempatan sebelum ini adalah antara bukti nyata, akibat dari mengambil tindakan dan keputusan tanpa berdasarkan keimanan.

Pendekatan menghafal Al Quran, doa-doa, bacaan dalam solat merupakan suatu pendekatan amalan keagamaaan yang berguna dalam pembentukan tingkahlaku pelajar. Haris (2004) menyatakan amalan keagamaan merupakan faktor kawalan utama dalam mengatasi keinginan untuk melakukan sesuatu yang melanggar nilai, norma serta undang-undang. Kajian Haris (2004) berhubung masalah sosial yang berlaku di Semenanjung Malaysia mendapati sebanyak 22.8 peratus masyarakat di bandar mencadangkan pendekatan keagamaan digunakan dalam menangani masalah sosial yang berlaku.

Pendekatan yang pengkaji cadangkan jika dilihat dari aspek agama serta pandangan penyelidikan barat (sekular) adalah amat bersesuaian kerana bagi mereka belia yang berpegang teguh dengan agama mempunyai tahap keterlibatan yang rendah dengan aktiviti tidak sihat (Gorsuch, 1995; Johnson et.al., 2002).  Kajian yang dijalankan oleh Dohanue dan Benson (1995), Francis (1997), dan Steinman (2004) menjelaskan agama merupakan faktor pelindung kepada belia dari melakukan tingkah laku yang menyalahi undang-undang.  Belia yang berpegang teguh pada agama berpotensi mengatur kehidupannya lebih tenang, sempurna dan sejahtera.

Oleh sebab itu, lanjutan dapatan kajian dalam mempraktik amalan hafazan ini, pengkaji cuba untuk mengkaji sama ada terdapat hubungan dan perbezaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) amali hafazan dan kesannya ke atas pembentukan tingkahlaku pelajar  khususnya di Kolej Matrikulasi Kedah. Ini termasuklah sama ada terdapat kesan perbezaan tingkahlaku berdasarkan jantina dan modul pengajian  selepas mereka mengikuti PdP secara hafazan.


 
 3.0     METODOLOGI KAJIAN

3.1  Pendahuluan

Bahagian ini memperihalkan metodologi kajian yang merangkumi reka bentuk kajian, populasi dan penentuan sampel, instrument kajian, jenis analisis data, kutipan data dan ujian keesahan dan kebolehpercayaan.

3.2  Rekabentuk Kajian

Pembolehubah utama kajian ini ialah perubahan tingkahlaku pelajar sebagai pembolehubah bersandar. Pembolehubah bersandar ini dipengaruhi oleh pembolehubah menghafaz bacaan dalam solat, menghafaz doa, menghafaz surah dan faktor demografi para pelajar seperti yang dijelaskan melalui Rajah 1.1 di bawah ini.
 
                                      Y (PTA) = f (FD, H)
                                      Di mana :
                                               PTA = Perubahan Tingkahlaku pelajar
                                               FD   = Faktor Demografi
                                               H     =  Bacaan Hafazan

Rajah 1.1 : Rekabentuk Pembolehubah Kajian

3.3  Populasi dan Penentuan Sampel

Kajian ini melibatkan 50 orang sampel yang terdiri daripada pelajar-pelajar Modul 1, Modul 2, dan program dua tahun (PDT). Pemilihan sampel ini dibuat secara rawak mudah dan mengikut kaedah Roscoe (1975) yang mencadangkanj saiz sampel seharusnya melebihi 30 responden dan hendaklah kurang 500 responden. Kajian berbentuk tinjauan ini mengumpulkan data berdasarkan kepada borang soal selidik yang diedarkan dan dijawab oleh sampel kajian.

3.4  Instrumen Kajian

Satu set soal selidik  yang dijawab sendiri oleh responden telah dibentuk dalam kajian ini. Ia  dibahagikan kepada dua bahagian (Jadual 1.1), iaitu :

Bahagian A : Maklumat Demografi

Bahagian ini mengandungi ciri-ciri personaliti responden iaitu jantina dan modul pengajian yang diikuti mereka dalam program matrikulasi.

Bahagian B : Perubahan Tingkahlaku/Akhlak Pelajar

Soalan-soalan dalam bahagian ini dibahagikan kepada tiga pembolehubah bebas   iaitu menghafal bacaan dalam solat, menghafal doa, dan  menghafal surah-surah lazim dalam Al Quran yang merangkumi  6 item dalam Bahagian B1, B2, dan B3 (item 1,2, 3,4, 5 dan item 6) yang disoal secara timbal balik, manakala pembolehubah utama (pembolehubah bersandar) iaitu pembolehubah tingkahlaku pelajar (Bahagian B4) merangkumi 7  item iaitu item 1, 2, 3, 4, 5, 6, dan 7.  Kesemua 25 item ini. telah diolah dan diubahsuai berdasarkan kajian Nasir Mohamad dan Robiyan Haron (1997) mengenai penguasaan Al Quran di kalangan guru-guru pelatih Institut Perguruan Darul Aman (IPDA) dan penggunaan item Skala Tingkahlaku Agama (Religious Behaviours Scale) oleh Williams dan Lawler (2001) yang merangkumi elemen item berikut iaitu :

(i)                 Bahagian B1, B2 dan B3

1.      Saya semakin memahami
2.      Tiada perubahan dalam diri saya (tidak memahami)
3.      Semakin tenang
4.      Semakin khusyuk
5.      Keupayaan membaca dengan betul
6.      Keyakinan bacaan adalah betul

(ii)               Bahagian B4

1.      Motivasi diri semakin meningkat
2.      Tingkahlaku semakin baik
3.      Menambah Keimanan
4.      Akan membantu orang lain untuk mendapat keredhaan Allah
5.      Semakin patuh dengan tuntutan agama
6.      Semakin kerap menghadiri masjid
7.      Semakin kerap menghadiri aktiviti masjid






Jadual 1.1 : Taburan Item Pembolehubah Kajian dan Tatacara Analisis

Dari segi pengukuran data, setiap maklumbalas kepada soalan ini akan diberikan nilai 1 hingga 5 di atas skala Likert (Jadual 1.2 dan Jadual 1.3).


Jadual 1.2 : Skala Likert Yang Digunakan Dalam Borang Soal Selidik

 


Jadual 1.3 : Ukuran Tahap Tingkahlaku
 

3.5   Jenis Analisis Data

Semua data dalam kajian ini dianalisis menggunakan perisian Statistical Package for Social Sciences for Windows Version 20 (SPSS V20). Analisis ini melibatkan penggunaan statistik deskriptif dan statistic inferensi secara deskriptif dan inferensi.


3.5.1 Statistik Deskriptif

Statistik deskrintif yang digunakan dalam kajian ini kerana data yang dihasilkan dapat dianggap sebagai ringkasan daripada keseluruhan set data. Ia juga memberi maklumat secara langsung dan mudah (Walsh, 1990). Antara analisis yang dilakukan meliputi jumlah skor, peratus, kekerapan, min, mod, median dan sisihan piawai. Analisis ini akan digunakan untuk menunjukkan komposisi responden serta ciri-ciri demografi yang lain seperti jantina dan modul pengajian.


3.5.2  Statistik Inferensi

Statistik inferensi yang digunakan dalam kajian ini Korelasi Pearson (The Pearson’s Corrrelation Matrix), Ujian-t (T-test), dan Analisis Varian sehala (One Way ANOVA). Kaedah-kaedah ini akan menguji kesemua hipotesis kajian yang telah digunakan.

Secara keseluruhan, Korelasi Pearson digunakan untuk menguji hipotesis yang akan menjelaskan sama ada terdapat huhungan (positif dan negatif) antara pembolehubah-pembolehubah kajian, iaitu perubahan tingkahlaku dan hubungannya dengan amali hafazan bacaan dalam solat, menghafazl doa serta menghafaz surah-surah pilihan.

Ujian-t akan digunakan ke atas hipotesis yang melibatkan perbandingan skor purata pada dua kumpulan, iaitu jantina.
Manakala kaedah Analisis Varian Sehala (One Way ANOVA) digunakan untuk membolehkan perbandingan dibuat ke atas min bagi sub-kumpulan yang lebih daripada dua iaitu dari segi perbezaan perubahan tingkahlaku yang dialami oleh responden berdasarkan modul pengajian.


3.6  Kutipan Data

Dalam kajian ini, kutipan data dilakukan melalui soal selidik yang diedarkan. Pemilihan alat ini selaras dengan pendapat Sekaran (1992) bahawa soal selidik melalui tinjauan adalah paling berkesan dalam pengumpulan data. Lantaran itu, data diperolehi melalui maklumat mengenai demografi dan tanggapan responden mengenai perubahan tingkahlaku yang dialami oleh responden termasuklah perubahan dari segi amali hafazan bacaan dalam solat, menghafaz doa serta menghafaz surah-surah pilihan.


3.7  Ujian Keesahan dan Kebolehpercayaan
Kajian rintis (pilot study) telah dilaksanakan untuk menentukan keesahan dan kebolehpercayaan dalaman (internal reliability) soal selidik yang telah dibina. Keesahan dan kebolehpercayaan dalam soal selidik ini diuji dengan Cronbach Alpha. Dalam hal ini,  Sekaran, (1992), menjelaskan Cronbach Alpha merupakan merupakan reliability coefficient yang menunjukkan bagaimana sesuainya hubungan item-item sebagai satu set soalan. Sekaran menambah semakin hampir nilai Alpha kepada angka 1, semakin tinggi kebolehpercayaan dalamannya. Nilai Alpha yang kurang daripada 0.6 dianggap lemah, manakala 0.7 boleh diterima. Seterusnya nilai  yang melebihi 0.8 adalah dianggap baik. Oleh yang demikian, nilai alpha  yang ditetapkan dalam kajian ini ialah melebihi 0.6.

Seterusnya, ujian rintis telah dilaksanakan di kalangan 20 orang pelajar matrikulasi Kolej Matrikulasi Kedah.  Data-data daripada hasil ujian ini diproses dengan reliability coefficient  yang terdapat dalam program SPSS Window Version 20. Hasil ujian adalah seperti Jadual 1.4.












Jadual 1.4 : Keputusan Ujian Kebolehpercayaan
Pembolehubah
Item
Korelasi
Cronbach Alpha
Bacaan Dalam Solat

v1
v2
v3
v4
v5
v6
0.64
0.62
0.68
0.69
0.70
0.76
0.88
Menghafal Doa Pilihan
v1
v2
v3
v4
v5
v6
0.63
0.73
0.52
0.81
0.77
0.74
0.88
Menghafal Surah Lazim
v1
v2
v3
v4
v5
v6
0.65
0.58
0.74
0.52
0.81
0.81
0.87
Perubahan Tingkahlaku Pelajar
v1
v2
v3
v4
v5
v6
v7
0.74
0.69
0.33
0.85
0.22
0.85
0.88
0.86
Nilai Alpha Keseluruhan


0.87

Berdasarkan hasil ujian tersebut menunjukkan Cronbach Alpha  bagi keseluruhan item ialah 0.87. Sementara Cronbach Alpha bagi setiap pembolehubah ialah di antara 0.86 hingga 0.88. Ini menunjukkan bahawa soal selidik yang telah dibina ini mempunyai kebolehpercayaan dalaman yang boleh dikategorikan sebagai baik.
 
 

4.0   DAPATAN  KAJIAN

Data yang diperolehi daripada jawapan soal selidik dianalisis dan dikemukakan dalam kajian ini. Keputusan yang diambil berdasarkan pentafsiran yang telah diperolehi daripada jawapan responden. Analisis data dibuat dalam dua bahagian utama. Bahagian pertama akan membincangkan latarbelakang responden secara ringkas. Ini diikuti bahagian kedua yang menguji persoalan kajian dan dapatan kajian dengan menggunakan kaedah Analisis Varian Sehala (ANOVA), Ujian-t dan Korelasi Pearson dalam Program SPSS.


4.1   Latarbelakang Responden

Dari 50 borang soal selidik yang diedarkan , seramai 38 orang (76 peratus) merupakan pelajar perempuan dan 12 orang pelajar lelaki (24 peratus). Ini adalah bersesuaian dengan populasi pelajar perempuan yang sememangnya dominan di  Kolej Matrikulasi Kedah . Sila lihat Jadual 1.5.

Jadual 1.5 : Latarbelakang Responden Berdasarkan Jantina

 
 
Dari segi bidang pengajian, kajian melibatkan 32 orang (64 peratus) pelajar PST (Modul 1), 10 orang (20 peratus) pelajar (Modul 2) dan 8 orang (16 Peratus) pelajar PDT seperti Jadual 1.6 di bawah ini.

Jadual 1.6 : Latarbelakang Responden Berdasarkan Bidang Pengajian



4.2  Skor Pembolehubah Kajian

Sebelum keputusan persoalan kajian yang telah dibina dihuraikan satu persatu, adalah lebih baik disenaraikan taburan skor setiap pembolehubah yang dikaji. Taburan skor boleh dianalisis melalui stastistik deskriptif iaitu yang berkaitan taburan kekerapan jawapan, min, median, skor julat dan sisihan piawai.

Skor ini  memberi maklumbalas responden terhadap pembolehubah-pembolehubah kajian seperti yang yang ditunjukkan dalam Jadual 1.7 dan Jadual 1.8. Analisis min contohnya boleh dijadikan ukuran dalam mengenalpasti persoalan kajian terutamanya dalam penilaian aras tingkahlaku pelajar, menghafaz surah,  menghafaz bacaan dalam solat dan menghafaz doa-doa pilihan dari maklumbalas responden sama ada tinggi, sederhana atau rendah.


Jadual 1.7  : Keputusan Ujian Kekerapan dan Taburan Min Pembolehubah Yang Dikaji (n = 50)

Pembolehubah
Skala
Peratus
Min/Item
Bacaan dalam solat
1. Sangat Tidak Setuju (STS)
2. Tidak Setuju (TS)
3. Tidak Pasti (TP)
4. Setuju (S)
5. Sangat Setuju (SS)
0.00
0.00
6.00
42.00
52.00
4.27
Menghafal  Doa
1. Sangat Tidak Setuju (STS)
2. Tidak Setuju (TS)
3. Tidak Pasti (TP)
4. Setuju (S)
5. Sangat Setuju (SS)
0.00
0.00
6.00
60.00
34.00
4.20
Menghafal Surah
1. Sangat Tidak Setuju (STS)
2. Tidak Setuju (TS)
3. Tidak Pasti (TP)
4. Setuju (S)
5. Sangat Setuju (SS)
0.00
0.00
2.00
48.00
28.00
4.25
Perubahan Tingkahlaku

1. Sangat Tidak Setuju (STS)
2. Tidak Setuju (TS)
3. Tidak Pasti (TP)
4. Setuju (S)
5. Sangat Setuju (SS)
0.00
0.00
48.00
52.00
00.00
3.55

Jadual 1.8  : Min, Median, Mod Pembolehubah Kajian (n = 50)


Dapatan kajian min pembolehubah (Jadual 1.7)  secara jelas menunjukkan penekanan kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) iaitu menghafaz bacaan dalam solat, menghafaz doa dan menghafaz surah memberi kesan ke atas perubahan tingkahlaku responden seperti motivasi diri semakin meningkat, tingkahlaku semakin baik,  menambah keimanan,  akan membantu orang lain untuk mendapat keredhaan Allah, semakin patuh dengan tuntutan agama dan semakin kerap menghadiri masjid.  Ini terbukti dengan skor min ketiga-tiga pembolehubah adalah kuat atau berkomitmen tinggi iaitu menghafaz doa (min = 4.27), menghafaz surah (min = 4.20), menghafaz bacaan dalam solat (min = 4.25) dan pembolehubah perubahan tingkahlaku (min = 3.55) yang berkomitmen sederhana.


Begitu juga dalam aspek skor mod dan median kesemua pembolehubah (Jadual 1.8) di antara 3.00 hingga 4.25 membuktikan hafazan merupakan satu pendekatan PdP yang baik dalam menarik minat serta menggalakkan para pelajar matrikulasi ke arah “celek Al Quran” serta melahirkan insan yang kamil seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

4.3  Ujian Hipotesis

4.3.1    Ho1: Tidak Terdapat Hubungan Yang Signifikan Antara Amali Hafazan Dengan Perubahan Tingkahlaku Pelajar Kolej Matrikulasi Kedah

Jadual 1.9: Keputusan Ujian Korelasi Di antara Pembolehubah  Hafazan dengan Tingkahlaku Pelajar KMK

PEMBOLEHUBAH
TINGKAHLAKU

r
p
Hafazan : Solat
0.69
0.00
Hafazan : Doa
0.70
0.00
Hafazan : Surah
0.67
0.00
Tahap signifikan p < 0.05

Kajian seperti yang dipamerkan dalam Jadual 1.9 mendapati  amalan hafazan dalam bacaan solat, doa dan surah memberi kesan yang  dominan ke atas perubahan tingkahlaku pelajar. Ujian Korelasi Pearson menunjukkan hafazan  doa mempunyai nilai r = 0.70, bacaan solat, nilai r = 0.69 dan hafazan surah, nilai r = 0.67, yang membuktikan nilai-nilai r yang kuat, positif dan konsisten. Nilai r yang kuat dan positif ini secara stastitik membuktikan bahawa  amalan hafazan telah berjaya mencorakkan minda dan sahsiah pelajar untuk lebih berkomitmen, iaitu menambah keimaman, tingkahlaku semakin baik, saling membantu, semakin patuh dan kerap  dalam melaksanakan ibadat mereka sama ada untuk bersolat, berdoa dan membaca Al Quran berbanding sebelumnya. Oleh yang demikian kenyataan di atas yang menyatakan tidak terdapat hubungan yang signifikan antara amali hafazan dengan perubahan tingkahlaku pelajar adalah tidak berkaitan. Ini menjelaskan bahawa hipotesis nul ditolak pada paras keyakinan 95 peratus. Dapatan ini juga membuktikan berlakunya peningkatan motivasi dalam melakukan ibadat dan membina tingkahlaku dan adab yang baik dalam berdoa, bersolat dan membaca surah Al Quran.


4.3.2    Ho2 : Tidak Terdapat Perbezaan Yang  Signifikan Antara Perubahan   Tingkahlaku  Pelajar Dengan Modul Pengajian Di Kolej Matrikulasi
Jadual 1.10 : Keputusan Ujian Analisis Varians Sehala (ANOVA) Bagi Perbezaan Tingkahlaku Pelajar Berdasarkan Modul Pengajian  (n = 50)

             Tahap signifikan p < 0.05

Kajian yang menggunakan Ujian Analisis Varian Sehala (One Way ANOVA) berdasarkan Jadual 1.10  di atas, mendapati nilai F = 0.72 yang tidak signifikan (p = > 0.05). Ini bermakna, kenyataan hipotesis nul tidak boleh ditolak pada paras keyakinan 95 peratus dan menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan tingkahlaku pelajar yang signifikan hanya semata-mata  berdasarkan modul  pengajian matrikulasi yang diikuti mereka. Ia juga bermaksud dalam melaksanakan amali hafazan dan hubungannya dengan perubahan tingkahlaku, peranan individu atau perseorangan itulah yang lebih penting dan bukannya modul pengajian yang mereka ikuti  di kolej matrikulasi.


4.3.3    Ho 3 : Tidak Terdapat Perbezaan Yang  Signifikan Antara Perubahan   Tingkahlaku  Dengan  Jantina Pelajar

Jadual 1.11 : Keputusan Ujian-t  Bagi Perbezaan Tingkahlaku Pelajar  Berdasarkan Jantina (n = 50)

 
Tahap signifikan p < 0.05

Kajian dengan menggunakan Ujian t, mendapati tingkahlaku pelajar tidaklah bergantung kepada latar belakang jantina seseorang pelajar. Jadual 1.11 di atas, menunjukkan keputusan Ujian-t mendapati nilai t (0.00)  yang tidak signifikan (p = > 0.05). Ini bermakna hipotesis nul diterima pada paras keyakinan 95 peratus. Secara langsung jelas membuktikan dalam menghafaz surah, doa dan bacaan Al Quran atau sebarang perubahan tingkahlaku , faktor jantina sama ada  lelaki atau perempuan tidak membataskan para pelajar untuk menjadi baik atau buruk perlakuannya. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT:



 

 
“Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga dan tidak akan dianiaya.
(Surah al-Nisa 4:124)


5.0   PERBINCANGAN DAN KESIMPULAN

5.1  Perbincangan

Hubungan Antara Amali Hafazan Dengan Perubahan Tingkahlaku Pelajar Kolej Matrikulasi Kedah

Berdasarkan dapatan kajian yang telah dijalankan, dapatlah disimpulkan  bahawa pengajaran dan pembelajaran amali hafazan yang terdiri daripada komponen bacaan dalam solat, doa-doa pilihan dan surah-surah lazim mempengaruhi perubahan tingkahlaku pelajar dengan pengaruh yang cukup dominan sama ada dari segi mereka semakin memahami kalimah, surah dan doa, tenang dan khusyuk, bermotivasi serta mempunyai tingkahlaku yang semakin baik. Dapatan kajian ini menyokong objektif dan persoalan kajian yang pertama. Ini bersesuaian dengan dapatan Nur Nazmin Syamimi, dan rakan-rakan  (2012) yang mendapati para pelajar yang disuruh menghafaz ayat demi ayat mampu meningkatkan penguasaan murid yang lemah dan menyebabkan mereka melibatkan diri secara aktif sewaktu sesi intervensi.  Dalam konteks Islam masalah kelemahan membaca Al Quran, amalan doa dan surah-surah berkaitan adalah merupakan sikap individu itu sendiri yang malas yang kesannya akan membawa ketidakmampuan membaca, tidak lancar dan buta huruf (Mohd Faisal et. Al., 2008).  Kajian ini juga berkaitan dengan pandangan Zaharah (2007) yang mendapati terdapat hubungan yang signifikan antara pengetahuan membaca Al Quran dengan kekerapan membacanya. Justeru  sikap tidak mengendahkan Al Quran dalam konteks belia (pelajar) akan mengugat tingkahlaku iaitu kepercayaan dan keimanan kepada Allah. Malah menurut Dzuhaimi Dahalan dan rakan-rakan (2014), tindakan atau keputusan tersebut boleh mengakibatkan para belia (termasuk pelajar) terjerumus dalam tingkahlaku yang tidak sihat di dalam kehidupan mereka.  Pendedahan kes-kes jenayah dan gejala tingkahlaku yang kurang sihat seperti dilaporkan oleh media-media tempatan sebelum ini adalah antara bukti nyata, akibat dari mengambil tindakan dan keputusan tanpa berdasarkan keimanan. Malah kenyataan ini seiring dengan dapatan Haris (2004) menyatakan peningkatan dalam amalan keagamaan merupakan faktor kawalan utama dalam mengatasi keinginan untuk melakukan sesuatu yang melanggar nilai, norma serta undang-undang. Seiring dengan pandangan pengkaji barat (sekular) mengatakan bahawa belia yang berpegang teguh dengan agama mempunyai tahap keterlibatan yang rendah dengan aktiviti tidak sihat (Gorsuch, 1995; Johnson et.al., 2002).  Kajian yang dijalankan oleh Dohanue dan Benson (1995), Francis (1997), dan Steinman (2004) menjelaskan agama merupakan faktor pelindung kepada belia dari melakukan tingkah laku yang menyalahi undang-undang.  Belia yang berpegang teguh pada agama berpotensi mengatur kehidupannya lebih tenang, sempurna dan sejahtera.
Perbezaan Antara  Perubahan Tingkahlaku  Pelajar Dengan Faktor Demografi (Jantina dan Modul Pengajian)

Walaupun kajian ini mendapati tidak terdapat perbezaan tingkahlaku pelajar berdasarkan faktor demografi (jantina dan modul pengajian), ia merupakan suatu dapatan yang sudah dijangkakan. Ini kerana telah banyak kajian mendapati faktor demografi tidak memberi kesan ke atas pembentukan tingkalaku dan sikap seseorang. Dapatan ini selari dengan pendapat yang dikenali sebagai “model situasi”  yang mendapati faktor demografi (termasuk jantina/modul pengajian) tidak mempunyai sebarang pengaruh istimewa ke atas seseorang individu melibatkan dirinya, mengaitkan atau mengenalpasti dirinya dengan matlamat dan nilai organisasi (Aven.et. al. 1993). Menurut Atan Long (1991), kedua-dua golongan lelaki dan perempuan sebenarnya mempunyai keperluan asas yang sama, oleh sebab itu dapatan pengkaji yang menunjukkan tidak ada perbezaan signifikan antara jantina dengan kesemua pembolehubah yang dikaji merupakan sesuatu yang sudah dijangkakan. Kemungkinan kedua, ialah bagi semua responden sama ada  jantina (lelaki atau perempuan) atau modul pengajian bukanlah suatu bentuk dikriminasi tingkahlaku, tetapi  adalah tanggungjawab atas  keperluan bersama yang perlu dipelajari,  di mana terbukti pengajian matrikulasi telah memberi peluang yang seimbang kepada mereka menggunakan kebolehan masing-masing dalam pembelajaran  tanpa dikriminasi  faktor jantina atau modul pengajian.

Tambahan pula di dalam Al Quran sendiri menjelaskan perbezaan ketaqwaan seseorang tidak terletak kepada jantina, bangsa dan sebagainya.

 

 Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)”.                                                                           
 (Al-Hujuraat 49 : 13)

 “Wahai manusia! Sesungguhnya Tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan Ketakwaan.”

(Hadis riwayat  Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani)



5.2 Cadangan dan Harapan

Kajian menunjukkan bahawa amali hafazan subjek Pendidikan Islam mempengaruhi pembentukan tingkahlaku para pelajar di kolej matrikulasi. Ini bermakna pihak pengurusan atasan Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pendidikan Malaysia serta  pihak pengamal yang terlibat dalam perancangan sistem pengajian  di kolej-kolej matrikulasi perlulah memberi perhatian terhadap faktor-faktor tersebut bagi meningkatkan pengajaran dan pembelajaran subjek Pendidikan Islam.

Ini termasuklah menyediakan kerangka yang lebih dominan dalam usaha-usaha menyebar luas kepentingan subjek Pendidikan Islam sebagai pendidikan sepanjang hayat bukannya sekadar “melepas batuk di tangga sahaja”, tetapi merentasi semua kurikulum dan subjek dalam bentuk pendidikan integratif yang akhirnya menjurus ke arah mengenal keagungan Allah S.W.T sebagai Maha Pencipta ke atas semua insan dan makhluk di muka bumi.


5.3 Kesimpulan

Amali hafazan yang merangkumi elemen bacaan dalam solat dan maknanya, doa-doa pilihan dan surah-surah lazim merupakan suatu pendekatan pengajaran dan pembelajaran  (PdP)  yang signifikan dalam mempengaruhi perubahan tingkahlaku pelajar. Seterusnya dalam merealisasikan Pendidikan Islam sebagai pendidikan sepanjang hayat. Kajian ini telah berjaya membuktikan bahawa amali hafazan telah berupaya menanam semangat mereka untuk menjadi lebih baik dalam menunaikan kewajipan sebagai khalifah dan sebagai hamba yang soleh dalam menjalin hubungannya dengan Allah S.W.T. Ini  kerana dengan menghafal surah-surah lazim, doa-doa pilihan dan mengetahui serta memahami bacaan dalam solat menjadikan  mereka lebih khusyuk dalam beribadah, lebih komitmen, lebih bermotivasi dan lebih berkeyakinan dalam melaksanakan aktiviti seharian sama ada sebagai khalifah mahupun hamba Allah di atas muka bumi ini.  Sebagai pelajar matrikulasi, apa yang kita hasilkan dalam “output” dan “outcome” kita ialah pelajar yang bukan sekadar berilmu sahaja tetapi bagaimana ilmu, amal dan iman itu  bersepadu dalam diri mereka yang akhirnya berjaya mendidik modal insan kamil, cemerlang dan seimbang dunia dan akhiratnya.

Rujukan

Al Quran Al Karim

Ab. Fatah Hasan. (1994). Penggunaan Minda yang Optimum Dalam Pembelajaran. Skudai: Universiti Teknologi Mara.

Atan Lomg. (1991). Pedagogi : Kaedah Am Mengajar. Petaling Jaya : Amiza Publishing Sdn. Berhad.

Bahagian Matrikulasi KPM. 2013. Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Islam, Program Matrikulasi 2012/2013). Putrajaya : Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Dohanue , M. & Benson, E. L,. (1995). Religion and Well-being of Adolescents. Journal of Social Issues. 51 (2) : 145 – 160.

Dzuhaimi Dahalan , Steven Eric Krauss, Azimi Hamzah & Abd. Hadi Sulaiman. (2014). Pegangan Agama Dalam Kalangan Pelbagai Kaum di Malaysia. Journal Of Sosial Sciences and Humanities. 9 (1) : 117 – 130.

Farhanah Rapihi. (2012). Penggunaan Kaedah FAHAMSS Surah Asy-Syams dalam Meningkatkan Kemahiran Menghafaz Surah Asy-Syams. Sarawak: Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang

Fauzi  Sulehan. (2010). Penggunaan Kad Imbasan Dalam Meningkatkan Pengajaran Hafazan Al-Quran Murid Tahun 5. Batu Rakit : Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail.

Francis, L. J., (1997). The Impact of Personality and Religion on Attitudes Towards Subtance Use Among 13 – 15 year Olds. Drug and Alcohol Dependence. 44 (2) : 95 – 103.

Gorsuch, R. L. (1995). Religious Aspects of Subtance Abuse and Recovery. Journal of Sosial Issues. 51 (2) : 65 -83.

Haris, A. W. (2004). Masalah Sosial di Bandar Semenanjung Malaysia : Tinjauan Perspektif Masyarakat Malaysia.  Journal of Southeast Asian Studies. 9 (1) : 55 -74.

Johnson, B. R., Tomkins, R. B. & Webb, D. (2002).  Objektive Hope : Assessing the Effectiveness of Faith-based Organizations : A Review of The Literature. University Of Pennsylvania, Center for Rwswarch on Religion and Urban Civil Society. Research Report.

Mohd Faisal, Mohammad Zawawi & rahimi. (2008). Celik Al Quran : Cabaran dan Realiti Dalam Pendidikan Islam di Sekolah. Kuala Lumpur : Universiti Malaya.

Muhammad Fathi Ramli & Mohd So’od  Chik. (2013).  Sistem 4Ta: Mempertingkatkan Hafazan dan Mutu Bacaan Surah Al- Fill. Batu Rakit : Jabatan Pendidikan Islam dan Moral. IPG Kampus Dato’ Razali Ismail.

Nasir  Mohamad  dan Rubiyah  Haron. (1997). Tahap Penguasaan Bacaan Al Quran di Kalangan Guru Pelatih Bukan Pengkhususan Pengajian Agama Islam. Batu Rakit : Jabatan Pendidikan Islam Dan Moral, IPG Kampus Dato’ Razali Ismail.
Nur Nazmin Syamimi  Ab Halim Fauzi, Mohd So’od  Chik. (2012). Penggunaan kaedah “CMR” Meningkatkan Kemahiran Menghafal Surah Al Bayyinah. Batu Rakit : Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, IPG Kampus Dato’ Razali Ismail 
Roscoe, J. R., (1975). Fundamental Research Statistics For Behavioral Sciences. Ney York : Holt, Rienehart and Winston
Sekaran, Umi. (1992).Research Method For Business : A Skill Building Approach. New York    : John Wiley and Sons, Inc.
Steinman, K. J.  (2004). Religious Activity and Risk Behavior Among African American Adolescents : Concurrent and Development Effects. American Journal of Community Psychology. 25 (1) : 117 – 122.

Wan Bakar Wan Dagang. (1990). Pengajaran dan Pendidikan Al-Quran Dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR). Jurnal Pendidikan Islam Jilid 3 Bil 3,1990: 21-31.

William Lee M. & Lawler, Michael G. (2001). Religious Heterogamy and Religiosity : A Cmparison of Interchurh and Same-Church Individuals. Journal for The Scientific Study of Religion, 40 (3), 465-478.

Zaharah, B. (2007). Amalan Membaca Al Quran Di Kalangan Pelajar Sekolah Menengah Daerah Port Dickson. Bangi : UKM.

No comments:

Post a Comment